CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

:: Ceritera Seorang Aku ::

create your own banner at mybannermaker.com!

Monday, February 21, 2011

(^_^) Situasi 18: Adab berbahasa, tidak kira situasi apapun.




Assalamualaikum..

Hari ini apa yang ingin saya ceritakan mengenai pengalaman saya pada malam tadi. Lebih kurang pukul 11 malam ketika saya sedang leka membuat tugasan, tiba-tiba kedengaran bunyi bising. Bunyi tersebut adalah bunyi hon kenderaan pelajar-pelajar UPSI yang datang ke Khar secara beramai-ramai menaiki motosikal dan kereta. Maklumlah sekarang di UPSI sedang berlangsungnya Pilihanraya Kampus. Maka ramailah mahasiswa dan mahasiswi yang begitu bersemangat turun padang bersama-sama bagi mengadakan rapat umum. Suasana menjadi hingar-bingar dengan sorakan calon, wakil calon dan penyokong-penyokong calon yang bertanding.
Semasa semua yang terlibat berarak dan bersorak, tiba-tiba saya terdengar suara perempuan menjerit dari blok 3, Khar.

Oiii....diamlah! bising ! tak tau ke orang nak tido! (dengan nada yang kuat)

Saya rasakan pilihanraya kampus kali ini begitu meriah dan semangat. Masing-masing cuba bersaing menegakkan manifesto masing-masing. Malahan mereka sanggup bertikam lidah memburuk-burukkan lawan mereka. Adakah ini satu sikap yang elok? Inilah dikatakan 'demam pilihanraya". Sanggup menggadaikan keperibadian bangsa Melayu sebagai bangsa berbudi sehingga tidak tahu lagi bagaimana cara untuk "beradab sopan". Tidak eloklah kita bertikam lidah, mengeluarkan kata-kata yang kesat kerana kita semua adalah bakal pendidik. Punya pekerti, punya adab sopan, punya semangat muhibbah. Bagaimana ingin menjadi pemimpin, bagaimana ingin menjadi wadah saluran suara mahasiswa/wi jika diri sendiri tidak terpimpin dan saling bertikam lidah. Ia menunjukkan kepada kita bahawa peribadi sebegitu tidak

Sunday, February 20, 2011

(^_^) Situasi 17: Belajar istilah baharu




Assalamualaikum....

Pada hari Sabtu, 19 Februari saya bersama-sama dengan 3 orang rakan yang lain telah berkunjung ke rumah seorang tokoh penulis sastera Felda iaitu Pak Cik Ramli Daud di Felda Sg. Klah, Sungkai, Perak. Kami datang bertemu dengan Pak Cik Ramli kerana ingin menyiapkan tugasan berkumpulan kami yang bertajuk Proses Kraetif Penulis. Kami memilih Pak Cik Ramli sebagai tokoh kajian kami kerana merasakan beliau mempunyai keistimewaan kerana tidak bukan senang melihat warga yang lahir dari tanah rancangan Felda berkecimpung dalam dunia penulisan. Kedatangan kami disambut dengan layanan yang mesra dan baik. Oleh kerana Pak Cik dan isterinya sangat peramah, ia menjadikan kami mudah mendekati beliau dan saya merasakan seperti saya sedang berbual dengan datuk saya sendiri.

Semasa sedang berbual-bual dengan beliau, Pak Cik ada menceritakan bahawa beliau telah berhenti menulis selama lebih kurang 10 tahun selepas memasuki tanah rancangan Felda pada tahun 1968. Namun, selepas itu beliau mula menulis kembali selepas membaca sebuah cerpen yang bertajuk "Tandup". Inilah perbualan kami:

Pak Cik Ramli: Lepas masuk tanah rancangan Felda ni Pak Cik mula berhenti menulis selama lebih krang 10 tahun. Selepas itu baru Pak Cik sambung menulis.
Saya: Kenapa Pak Cik?
Pak Cik Ramli: Pak Cik sibuk dengan kebun Pak Cik. Tapi lepas Pak Cik terbaca sebuah buku yang bertajuk " Tandup" baru Pak Cik mula menulis kembali. Bila Pak Cik baca buku tu pak cik terfikir "Alah, aku pun boleh tulis macamni...(sambil tersengih).
Saya: Apa pak cik nama buku tu?
Pak Cik Ramli: Tandup.
Saya: Tandup? Tak pernah dengar pun nama perkataan tu.
Pak Cik Ramli: Tandup digunakan oleh orang di daerah tertentu. Orang mana pak cik da dah tak ingat. Tandup tu maksudnya empangan.
Saya dan rakan-rakan: Ooooo....


Oleh kerana saya dan 3 orang rakan yang lain kesemuanya orang Johor, jadi kami memang tidak pernah mendengar istilah tersebut. Jadi, pertama kali mendengar istilah tersebut, terasa agak ganjil di pendengaran kami kerana kami tidak pernah mendengar istilah tersebut sebelum ini. Menurut Pak Cik istilah "tandup" merujuk kepada  "empangan". Mungkin istilah tandup itu digunakan hanya di daerah-daerah tertentu. Kami telah belajar satu istilah baru. Apabila saya pulang ke rumah dan kemudian saya mencari istilah tersebut di dalam kamus dewan, memang ada perkataan tandup di dalam kamus. Tandup memang perkataan sinonim bagi empangan.

Sebenarnya, banyak lagi istilah-istilah lain yang jarang kita gunakan dan kita tidak ketahui. Kadang-kadang istilah yang digunakan oleh sesebuah kawasan berbeza tapi merujuk kepada maksud yang sama yang kita tidak ketahui. Belajar bahasa daerah atau dialek dari negeri lain sebenarnya mempunyai banyak kebaikan. Antaranya kita mudah untuk berkomunikasi dengan masyarakat daerah lain dan dapat menambah kosa kata baru dalam ingatan kita.



Thursday, February 17, 2011

(^_^) Situasi 16: Isu vs masalah




Assalamualaikum....

Semasa saya mengikuti kuliah Karya Agung bersama Profesor Emeritus Abdullah Hassan pagi tadi, prof ada menyatakan bahawa ramai dalam kalangan mahasiswa/wi UPSI yang masih banyak kelemahan dalam komunikasi terutamanya dalam penggunaan bahasa Melayu yang betul semasa proses komunikasi berlangsung. Prof banyak memberi teguran mengenai bahasa yang kurang enak dan tidak sesuai digunakan terutamanya dalam kalangan mahasiswa/wi yang bakal menjadi guru kelak. Prof mengaitkan perkara ini (kesalahan penggunaan bahasa) untuk membezakan definisi isu dengan masalah.

Kesalahan penggunaan bahasa dalam kalangan mahasiswa/wi dianggap sebagai satu isu (sesuatu perkara yang menyulitkan tetapi belum diselesaikan), namun isu ini akan menjadi masalah (sesuatu perkara yang perlu diselesaikan/dibendung) apabila kebiasaan melakukan kesalahan penggunaan bahasa Melayu masih lagi berlaku apabila mahasiswa/wi menjadi guru di sekolah kelak.

Prof mengambil contoh kebiasaan yang dituturkan oleh mahasiswa adalah menyingkatkan perkataan.Contohnya perkataan:

 dekat mana  =  katne

dengan siapa = ngan sape

pergi gi


Selain itu, kesalahan lain yang digunakan dalam situasi formal adalah penggunaan partikel "lah". Menurut prof partikel "lah" hanya boleh digunakan untuk memberi penegasan.Contohnya "dialah pencurinya" tetapi ia tidak sesuai digunakan jika bukan bertujuan untuk memberi penegasan. Contohnya,

(1) cerita tu bestlah

(2) beg tu tak cantiklah

(3) takpelah


Saya melihat isu ini wajar dibendung terutamanya memberi kesedaran dari dalam diri mahasiswa/wi itu sendiri kerana mereka adalah bakal pendidik. Mereka akan menjadi ikon kepada para pelajar di sekolah kelak. Paling penting, mereka akan berhadapan dengan para pelajar menggunakan bahasa sebagai perantara dalam komunikasi. Jika bahasa yang digunakan baik, baiklah bahasa yang digunakan pelajar. Tetapi jika buruk dan jelek bahasa yang digunakan maka buruk dan jelek jugalah bahasa yang digunakan oleh para pelajar nanti. Tambahan pula, bahasa Melayu adalah bahasa rasmi, kebangsaan negara Malaysia. Seharusnya semangat kecintaan terhadap negara bukan sahaja semangat dalam menegakkan negara daripada musuh tetapi juga semangat cintakan bahasa kebangsaan negara. Kecintaan terhadap bahasa boleh dilahirkan salah satunya dengan cara "menggunakan bahasa kita dengan sebaik-baiknya".



Tuesday, February 15, 2011

(^_^) Situasi 15: Moh, Ayuh, Mari


Assalamualaikum....

Sewaktu saya pulang dari makan, saya bersama rakan saya berjalan menuju ke foyer blok 3, Kolej Harun Aminurrashid, UPSI bagi menghadiri satu perjumpaan. Ketika dalam perjalanan menuju ke sana, saya melalui satu papan kenyataan dan kemudian saya terbaca mengenai satu notis di papan tersebut.

Moh...mari...bersama kita meriahkan Evoge 1Malaysia.

Perkataan "moh" membawa makna yang seerti dengan perkataan "mari","jom" dan  "ayuh". Terdetik di hati saya bahawa ada juga orang yang menggunakan perkataan "moh" di sini. Saya ingat hanya di tempat saya sahaja yang menggunakan perkataan tersebut. Saya memang jarang sekali mendengar orang lain menggunakan perkataan moh, jika mahu mengajak seseorang pergi ke sesuatu tempat kebiasaannya mereka lebih gemar menggunakan perkataan "mari", "jom", meungkin kerana sudah menjadi kebiasaan menggunakan perkataan tersebut. Namun berbeza dengan saya, saya sering juga menggunakan perkataan "moh" untuk mengajak seseorang. Perkataan "moh" memang nampak agak janggal digunakan kerana jarang digunakan oleh masyarakat kita. Memang setiap perkataan bahasa Melayu lazimnya mempunyai kata seerti atau sinonim dan perkataan yang bersinonim itu kebiasaannya hanya salah satu sahaja yang sering digunakan berbanding perkataan seertinya yang satu lagi. Seperti juga dengan perkataan "waima", masyarakat kita sering menggunakan perkataan "sama ada"  berbanding "waima" kerana sudah menjadi kebiasaan mereka menggunakan perkataan tersebut dalam komunikasi seharian. 




(^_^) Situasi 14: Bahasa rahsia /bahasa ciptaan sendiri



Assalamualaikum...

Saya nak cerita sedikit mengenai pengalaman saya di sekolah dahulu. Saya dan rakan-rakan sering menggunakan bahasa rahsia kami terutamanya ketika ingin bercakap mengenai sesuatu perkara yang tidak boleh diketahui oleh orang lain. Dan sampai sekarang saya rasa, bahasa rahsia ini masih digunakan terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah terutamanya pelajar perempuan. Sewaktu di sekolah dahulu saya dan rakan-rakan menggunakan bahasa rahsia "f"..

Contoh ayatnya:
Aku tak suka dialah. Dia jahat. Sombong. (bahasa Melayu biasa)
Afakufu takfak sufukafa difiafalahfah. Difiafa jafahatfat. Somfongbongfong. (bahasa rahsia)

Bahasa rahsia ini dituturkan dengan cara meletakkan bunyi yang berunsur "f" di belakang setiap suku kata perkataan mengikut bunyi suku kata tersebut. Saya tidak tahu bagaimana bahasa ini boleh wujud. Saya rasa bahasa ini diwujudkan oleh pihak tertentu sebagai bahasa rahsia yang digunakan dalam kelompok mereka supaya apa yang ingin mereka katakan tidak difahami oleh orang lain. Hanya kelompok yang tahu menggunakan bahasa rahsia tersebut sahaja yang memahami apa yang rakan mereka katakan. Sebenarnya banyak lagi bahasa rahsia yang digunakan seperti menyingkatkan perkataan. Contohnya:

keman kit har ni? (Ke mana kita hari ini)

Bagi mereka yang sememangnya sudah mahir menggunakan bahasa ini, walaupun dituturkan dengan cepat tetapi ia masih boleh difahami. Tetapi bagi mereka yang tidak faham bahasa ini, sememangnya memang tidak akan memahami sehingga menganggap apa yang dituturkan oleh kelompok tersebut sangat pelik.

Pada saya, inilah salah satu keunikan bahasa Melayu kerana dari huruf, kosa kata bahasa Melayu  boleh menerbitkan pelbagai kod bahasa rahsia yang lain. Tetapi perlu diingat, sebagai penutur bahasa Melayu sayangilah bahasa kita. Gunakanlah bahasa kita dengan sebetul-betulnya.



Monday, February 14, 2011

(^_^) Situasi 13: Bahasa yang rosak mencerminkan bangsa yang rosak



Assalamualaikum...

Anda suka makan rojak? Rojak adalah sejenis makanan. Rojak sedap! Salah satu jenis rojak adalah "rojak petis". Di dalam "rojak petis "terdapat campuran sayur-sayuran seperti lengkuas, kangkung, timun, nanas, cili dan sebagainya. "Macam-macam ada!"..



Kita lihat di dalam rojak, semua bahan-bahan dicampuradukkan barulah ia menjadi sedap untuk dimakan. Tetapi jika bahasa kita dicampuradukkan adakah ia menjadi "sedap" juga? Anda tahu bahasa rojak? Bahasa rojak adalah bahasa campuran terutamanya campuran bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris yang sering digunakan oleh penutur Melayu dalam komunikasi. Dalam aktiviti berbahasa, jika kita mencampuradukkan bahasa kita dengan bahasa lain dalam komunikasi, maka jadilah bahasa itu bahasa rojak. Saya lihat penggunaaan bahasa rojak semakin meluas digunakan sama ada dalam komunikasi seharian, di dalam media massa termasuk media elektronik. Malahan lebih teruk lagi apabila bahasa tersebut digunakan dalam situasi formal seperti di dalam majlis rasmi atau di dalam bilik kuliah dan sebagainya. Di mana-mana sahaja, pasti sahaja akan terdengar dipendengaran saya komunikasi seseorang dengan seseorang yang lain menggunakan bahasa rojak.  Saya mengambil contoh satu situasi yang berlaku ketika saya makandi sebuah kedai makan.

Si gadis: Kakak, nak order.
Pelayan: Ye dik nak order ape?


Perkataan "order" memang sudah menjadi kebiasaan kepada kita untuk kita gunakan semasa ingin membuat pesanan. Jarang sekalilah saya mendengar orang berkata "Nak buat pesanan." Malahan saya sendiri sering menggunakan perkataan oreder ketika ingin memesan makanan atau minuman di kedai makan. Sebenarnya ini juga merupakan salah satu 'bahasa rojak' yang sering kita gunakan tanpa kita sedari kerana ia nampak kecil. Tetapi perkara yang kecil inilah jika semakin banyak digunakan akan menjadi semakin besar. Sebenarnya isu ini bukan isu yang baru. Sudah terlalu lama isu ini diperbahaskan oleh ahli-ahli bahasa tentang bagaimana untuk mengatasi masalah ini. Sekiranya slogan "Bahasa Jiwa Bangsa" tidak disematkan dalam jiwa generasi pada masa sekarang akan lunturlah identiti penutur bahasa Melayu itu sendiri. Jika mahu menggunakan bahasa Melayu, gunakanlah bahasa Melayu sepenuhnya manakala jika ingin menggunakan bahasa Inggeris, gunakanlah bahasa itu sepenuhnya dan janganlah dicampuradukkan antara kedua-dua bahasa tersebut sehingga mencemarkan identiti dan keagungan bahasa tersebut terutamanya bahasa Melayu.

Saya ada membaca di dalam akhbar Utusan Malaysia, seorang profesor dari UPM menyatakan bahawa "Bahasa yang rosak mencerminkan bangsa yang rosak." Kata-kata ini menunjukkan kepada kita bangsa Melayu semakin rosak. Hal ini kerana penggunaan bahasa Melayu kini sudah semakin luntur disebabkan sikap tidak peka masyarakat sehingga mencampuradukkan bahasa mereka dengan bahasa lain menjadi bahasa rojak.



   ::Bahasa jiwa bangsa::  :: Musnah bahasa, punahlah bangsa:: 

(^_^) Situasi 12: Siapa makan cili dia terasa pedasnya




Assalamulaikum....

Saya ingin menceritakan mengenai pengalaman rakan sebilik saya. Pada suatu malam semasa dia sedang melayari facebook, seorang lelaki telah menghantar mesej mengatakan "hai" kepadanya di dalam laman sembang. Tetapi rakan saya tidak layan. Bukan itu sahaja, terdapat seorang lagi lelaki yang mengganggunya pada malam itu di laman sembang tetapi dia tidak melayan kerana sedang membuat tugasan. Kemudian rakan saya itu membuat komen di halaman profilnya:

"Saya tidak suka orang yang saya tak kenal ganggu saya, offline kang!"

Kemudian tiba-tiba, lelaki yang mengganggunya tadi memarahinya.

"Hek eleh, nak offline konon. Bajet lawa. Sombong.

Kemudian, rakan saya membalas komen lelaki tersebut.

"Kenapa nak terasa pulak."

Kemudian budak lelaki tersebut terus memarahinya dengan bahasa yang kurang sopan beraku, kau". Saya ingin mengulas di sini mengenai peribahasa Melayu "siapa makan cili, dia terasa pedasnya". Memang tepat sekalilah dengan situasi yang berlaku pada kawan saya tersebut. Lelaki tersebut terasa dengan komen yang ditulis oleh rakan saya di halaman profilnya sehingga menimbulkan kemarahan hati  lelaki tersebut. Begitu pandainya masyarakat Melayu pada zaman dahulu mencipta puisi yang begitu dalam maknanya. Falsafah yang terkandung di dalam setiap puisi Melayu begitu tinggi nilainya kerana falsafahnya sangat bertepatan dengan situasi yang berlaku dalam kehidupan masyarakat kita dari dahulu hingga sekarang. 





(^_^) Situasi 11: Mimik muka menjengkelkan, sudah tahu isi hatinya




Assalamualaikum....

Saya ingin menceritakan mengenai pengalaman saya ketika saya pergi ke kedai Bahtera bersebelahan dengan kedai Nasi Kandar berdekatan dengan Kolej Harun Aminurrashid, UPSI. Semasa saya sedang membayar harga barangan yang telah saya beli, tiba-tiba "Aunty Cina" pemilik kedai tersebut berkata kepada saya:

Aunty: Pelajar-pelajar sini manyak sombong ar...
Saya: Kenapa aunty?
Aunty: Diorang (pelajar perempuan Melayu) tidak sopanla, bahasa manyak sombong oo...
Saya: Saya pelajar sini juga aunty.
Aunty: Awak lainlah...
Saya: Apa yang mereka buat?
Aunty: Selalu saya mintak duit kecik kat customers biasalah. Saya mintak duit kecik dekat itu budak, itu budak mahu marah ah...sombong ar..(sambil menunjukkan mimik muka seperti yang dibuat oleh pelanggannya tadi.)
Saya : (hanya tersengih)
Aunty: Ini semua yang keluar bakal cikgu ah?
Saya: Ha'ahlah aunty...semua cikgu...
Aunty: Haiyaaa....
Saya : Biasalah aunty, budak sekarang. Oklah aunty, saya pergi dulu.

Sebagai seorang pelajar dan juga bakal guru, saya melihat situasi ini sangat memalukan  sehingga ada pihak beranggapan bahawa pelajar di UPSI kurang sopan. Seelok-eloknya walau dengan sesiapa pun kita berhadapan, tidak kira bangsa atau agama, kita haruslah sentiasa beradap sopan dengan orang lain. Orang Melayu selalu dianggap sebagai bangsa yang paling sopan dan kaya dengan budi bahasa, tetapi kadang-kadang saya melihat orang yang berbangsa lain lagi beradab sopan jika berkomunikasi dengan orang lain. berbanding bangsa Melayu sendiri Tidak kira dalam percakapan, bahasa badan, mimik muka apabila berhadapan dengan orang lain, kita perlulah menunjukkan kesopan diri kita sebagai bangsa Melayu.Walaupun kita tidak mengeluarkan percakapan yang tidak sopan tetapi dari bahasa badan dan mimik muka kita orang boleh menilai isi hati tersirat kita. Seperti situasi di kedai tersebut, saya tidaklah mendengar percakapan antara aunty dan pelajar tersebut tetapi dari apa yang diceritakan oleh aunty, saya tahu pelajar perempuan yang dimaksudkan oleh aunty telah menunjukkan mimik muka yang tidak menyenangkan kepada aunty sehingga aunty berkata kepada saya bahawa pelajar itu sombong. Kan tidak elok bersikap demikian apatah lagi dihadapan orang yang lebih tua. Kita  harus menghormati sesama kita tidak kira usia, bangsa dan agama.


   :: Budi bahasa, budaya kita::





(^_^) Situasi 10: Bahasa puitis membosankan




Assalamualaikum....

Kali ini saya ingin mengulas serba sedikit mengenai bahasa puitis yang digunakan di dalam karya sastera  terutamanya novel-novel. Saya ada meminjam sebuah novel yang ditulis oleh seorang penulis yang agak tersohor dan berpengalaman lama dalam dunia sastera. Novel tersebut sudah lama diterbitkan dan telah dihasilkan lama. Pada saya, bahasa yang digunakan dalam novel tersebut terlalu puitis dan berbunga-bunga sehingga saya sendiri sukar untuk mentafsirkan maksud sebenar yang ingin disampaikan dalam novel tersebut.  Apabila saya membaca 3 hingga 4 muka surat novel tersebut, saya akan merasa bosan atau tertidur malah  saya telah menghentikan pembacaan saya kerana bosan membaca novel tersebut. Apa yang mahu diceritakan dalam novel tersebut adalah perkara dan peristiwa yang cukup mudah tetapi penggunaan diksi-diksi yang terlalu rumit dan ayat yang begitu puitis membuatkan pembaca sukar untuk memahami peristiwa atau isu ang dibangkitkan dalam novel tersebut. Mungkin penggunaaan bahasa yang terlalu puitis yang digunakan dalam kebayakan novel lama menyebabkan generasi muda pada masa sekarang lebih gemar membaca novel-novel yang ditulis oleh penulis baru kerana tema dan jalan cerita disampaikan dengan bahasa dan penggunaan diksi yang lebih mudah untuk difahami.

Saya tidak nafikan, saya lebih suka membaca novel-novel yang ditulis oleh penulis baru berbanding penulis veteran yang sudah lama berkecimpung dalam dunia penulisan. Saya juga tidak nafikan bahawa penulis lama kebanyakannya menghasilkan karya yang lebih bermutu tetapi upada saya untuk mendidik minat generasi muda mengamalkan budaya membaca. penggunaan diksi yang lebih mudah difahami haruslah digunakan terutamanya dalam genre novel kerana novel adalah cerita panjang. Sekiranya dari awal lagi apabila kita membaca sesebuah novel tetapi apa yang kita baca sukar untuk difahami sudah tentu pembacaan kita akan terhenti  tetapi sebaliknya jika bahasa yang dgunakan mudah difahami ditambah lagi dengan jalan cerita yang menarik sudah tentulah kita lebih seronok membaca dan akan membacanya sehingga habis.

   "Bangsa membaca, bangsa berjaya"






Saturday, February 12, 2011

(^_^) Situasi 9: Kesalahan bahasa lagi?




Assalamualaikum....

Pada malam jumaat yang lalu saya telah pergi ke kampus untuk menghadiri mesyuarat Persatuan Bahasa Melayu. Semasa melalui satu kawasan pembinaan di sekitar bangunan Bilik E. Learning, saya telah terlihat satu papan tanda yang tertulis

"AWAS! PEMBINAAN SEDANG DI LAKSANAKAN".
Saya terus mengambil gambar papan tanda berkenaan sambil berkata 'Isy...kesalahan bahasa lagi". Sudah terlalu banyak saya melihat kesalahan bahasa yang terdapat di sekitar UPSI sama ada pada memo, iklan, banner yang telah diletakkan di stesyen bas dan papan tanda di sekitar kampus dan kolej kediaman UPSI. Saya melihat perkara ini perlu diambil tindakan dengan segera. 

Sebenarnya Persatuan Bahasa Melayu sudah lama melihat dan meneliti masalah "kesalahan bahasa" yang berlaku di sekitar UPSI ini. Kami juga telah merancang untuk menubuhkan "SKUAD CAKNA BAHASA" dengan kerjasama JHEP, UPSI bagi membanteras masalah ini. Di harap dengan tertubuhnya skuad ini, tidak akan berlaku lagilah kesalahan bahasa Melayu di sekitar UPSI dan mendidik para pelajar agar menggunakan bahasa Melayu yang betul.

"Bahasa Sendi Tamadun Bangsa"








(^_^) Situasi 8: Bahasa Pujukan perlu di KEWAJA




Assalamualaikum......


Pada hari Sabtu, 12 Februari 2011, saya bersama rakan-rakan sekumpulan bagi Kursus  Kesusasteraan Melayu Dalam Pembinaan Modal Insan telah membuat penyelidikan di Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (KEWAJA) di Batu Caves, Gombak. KEWAJA merupakan sebuah Pusat Integriti Dan Pembangunan Insan Hadhari yang diasaskan oleh Encik Yahya bin Mohamed Yusof dan Puan Ruzitah binti Bahrum. KEWAJAditubuhkan bertujuan untuk menyelamat, melindungi, membimbing, merawat remaja atau gadis dan wanita yang mengalami masalah pribadi atau sosial akibat aktiviti kehidupan yang tidak bermoral atau mangsa gejala sosial serta pergaulan bebas.

Tumpuan dan golongan sasaran KEWAJA adalah gadis remaja atau wanita yang hamil luar nikah dan melahirkan anak tidak sah taraf (anak tanpa bapa yang sah) termasuk juga ibu- ibu tunggal yang bermasalah dan golongan gadis remaja atau wanita yang ingin kembali ke pangkal jalan / kepangkuan masyarakat setelah terlibat dalam aktiviti hidup yang tidak bermoral atau pergaulan bebas serta mangsa keganasan seksual. Semua remaja dan wanita yang masuk ke pusat ini tdipanggil pelatih. Saya mendapat tahu semua pelatih memanggil Encik Yahya dan isterinya, ABAH dan MAMA....Saya melihat layanan Encik Yahya dengan pelatih di sana sangat baik dan mesra. 

Isu bahasa yang ingin saya sentuh kali ini adalah mengenai bahasa pujukan yang memang digunakan untuk pelatih KEWAJA. Bahasa pujukan bermula apabilla bagaimana ahli keluarga dan teman rapat memberi nasihat  dan pujukan mereka agar remaja atau wanita yang terlibat dengan masalah sosial tersebut terbuka hati untuk memasuki pusat tersebut. Kemudian bahasa pujukan turut digunakan oleh ABAH dan MAMA untuk memujuk, memberi nasihat, membimbing pelatih KEWAJA agar mengubah diri dan nasib mereka. Sudah tentulah untuk memberi nasihat dan bimbingan kepada seseorang kita perlulah menggunakan bahasa yang sopan dan halus, bahasa pujukan yang menarik sehingga mampu memberikan kesan emosi serta mampu mengubah sikap pelatih di KEWAJA untuk mengubah diri mereka menjadi seorang perempuan yang lebih baik di masa hadapan. Apabila saya dan rakan-rakan menemuramah Encik Yahya, kami difahamkan majoriti pelatih yang memasuki KEWAJA yang telah keluar dari pusat tersebut telah berubah dan menjadi seorang yang lebih baik serta tidak mengulangi kesilapan yang sama. Sekiranya kita terutamanya ibu bapa yang terlibat dengan situasi seperti ini, kita tidak seharusnya memarahi dan menggunakan kata-kata yang kesat kepada remaja atau anak perempuan mereka tkerana apa yang telah terjadi sememangnya telah terjadi. Seharusnya, apa yang perlu dilakukan adalah menghadapi mereka dengan tenang serta membantu mereka kerana mereka amat memerlukan bimbingan dan sokongan daripada kita. 

Saya difahamkan kebanyakan bayi yang dibuang dan dijumpai dalam keadaan berulat atau telah mati kebiasaannya, ibu yang membuang bayi tersebut datang dan melakukan perbuatan tersebut dalam keadaan seorang diri tetapi jika bayi yang dijumpai dalam keadaan bayi di balut dengan kain dan sebagainya, biasanya ibu bukan berseorangan tetapi sebaliknya datang bersama teman. Sebagai sahabat, sebagai keluarga apabila kita menghadapi keadaan ini kita harus menerima teman kita, anak kita tersebut dengan redha dan membantu mereka agar di kemudian hari mereka tidak melakukan tindakan yang lebih buruk seperti membunuh diri/ bayi dalam kandungan dan sebagainya. 

Oleh sebab itulah, saya berpendapat bahawa bahasa pujukan memang sangat diperlukan bagi menghadapi pelatih di KEWAJA agar apabila mereka keluar dari pusat tersebut,mereka tidak akan mengulangi kesilapan yang sama. Selain itu, yang paling utama yang diamalkan di KEWAJA adalah mendekatkan diri para pelatih dengan ilmu agama Islam bagi menyucikan hati dan diri mereka dari noda dan dosa.


:: Terima Kasih kepada Encik Yahya dan semua pelatih yang telah memberi kerjasama kepada kami untuk membuat penyelidikan di sana. Semua pelatih di sana sangat peramah dan melayan kami dengan baik. Saya berharap, semua warga KEWAJA dilindungi Allah S.W.T sentiasa ::





(^_^) Situasi 7: Bahasa Inggeris diagung-agungkan


 


Assalamualaikum....


Sepanjang minggu, kebiasaannya saya akan pergi ke kuliah di waktu pagi kerana jadual saya banyak kelas pagi. Kebiasaannya saya akan ke kuliah menaiki kereta. Sepanjang perjalanan ke kuliah saya akan mendengar radio. Selalunya saya akan ketawa sakan dalam kereta apabila mendengar sebuah rancangan "Can I Help You" di sebuah stesyen radio. Bila dengar rancangan itu memang saya akan gelak sakanlah. DJ radio yang mengendalikan rancangan tu memang sangat hipokritlah. Memang pandai mengenakan orang yang tak pandai berbahasa Inggeris dengan baik.Macam-macamlah perkataan yang keluar dari "orang yang terkena". Kadang-kadang ayat tu bila dengar memang lawak sangatlah. Bercampur-baur perkataan bahasa Inggeris dengan bahasa Melayunya...Ada juga bila yang dah tak tahu sangat nak cakap bahasa Inggeris akan terus letak telefon...Haahaa...Memang lawak...

Saya tak nafikan, memang rancangan tu amat menghiburkan hati saya dan akan menceriakan hati saya setiap pagi...Tetapi saya juga terfikir, apalah yang diagung-agungkan sangat dengan bahasa Inggeris sehingga orang yang tidak pandai berbahasa Inggeris dengan baik digelak dan ditertawakan...Majoritinya orang yang dikenakan adalah orang Melayu, malah DJ radio itu sendiri orang Melayu. Sepatutnya kita patut menggelakkan orang yang tidak pandai berbahasa Melayu dengan baik kerana bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan di Malaysia. Saya percaya, sebenarnya ada ramai lagi orang di Malaysia yang kebiasaannya yang sudah terbiasa berkomunikasi dalam bahasa Inggeris tidak pandai berbahasa Melayu dengan baik. Sepatutnya orang sebegini yang patut malu dengan sendiri. Kita sepatutnya memartabatkan bahasa kita sendiri bukan mengagung-agungkan bahasa lain terutama bahasa Inggeris.

Saya melihat, situasi sekarang memang orang yang tahu berbahasa Inggeris dengan baik amat dihormati dan diagung-agungkan. Tetapi cuba kita fikir, adakah orang yang fasih berbahasa Inggeris itu fasih berbahasa Melayu walaupun dia orang Melayu? Fikir-fikirkanlah.....

"Bahasa Sendi Tamadun Bangsa"



Thursday, February 10, 2011

(^_^) Situasi 6: Bahasa isyarat




Assalamualaikum.....

Baru-baru ini saya telah membaca satu berita di akhbar kosmo yang bertajuk "Sulam Cinta Dengan Bahasa Isyarat". Ia menceritakan mengenai sepasang suami isteri yang telah berkahwin di mana si suami adalah seorang yang cacat pendengaran dan bisu manakala si isteri pula seorang yang normal. Walaupun si suami seorang yang cacat pendengaran dan bisu namun ia tidak menghalang mereka untuk berkomunikasi dengan baik kerana si isteri telah menunjukkan kesungguhannya dengan belajar bahasa sehingga benar-benar mahir selama 5 tahun. Menceritakan pengalaman mempunyai anak, si suami menceritakan bagaimana pada awalnya dia tidak yakin untuk menjaga anaknya ketika ketiadaan isterinya kerana dia tidak dapat mendengar anaknya menangis jika mhukan sesuatu dan sebagainya. Namun, setelah dua tahun barulah dia yakin menjaga anaknya. Mereka telah mendidik anak sejak kecil supaya mempelajari bahasa isyarat walaupun anak mereka seorang yang normal. Apabila anak mereka mahukan susu, anaknya akan menunjukkan isyarat menggenggam tangan. Pada saya ia adalah keistimewaan yang dimiliki oleh keluarga ini.




sekadar hiasan

Saya teringat pula, pada cuti raya Cina yang lepas saya telah menonton satu rancangan televisyen iaitu drama Melayu yang ditayangkan di TV2 sempena Tahun Baru Cina. Cerita itu mengisahkan seorang kanak-kanak lelaki Melayu dan seorang kanak-kanak perempuan Cina yang berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat kerana kedua-dua kanak-kanak itu cacat pendengaran dan bisu. Kanak-kanak perempuan Cina tersebut tidak pandai menulis manakala kanak-kanak lelaki tersebut pula seorang yang bijak dan pandai menulis. Hal ini kerana, ibubapa kanak-kanak lelaki tersebut memberi peluang kepada anak mereka untuk belajar seperti kanak-kanak normal yang lain. Bapa kanak-kanak Cina perempuan itu tidak memberi peluang kepada anak mereka untuk belajar sedangkan anak mereka juga mempunyai hak seperti kanak-kanak normal lain.

Bayangkanlah sekiranya mereka tidak menggunakan bahasa isyarat , mesti sukar untuk mereka berdua berkomunikasi kerana sukar bagi kanak-kanak Melayu dan Cina berkomunikasi antara mereka kerana mereka mempunyai bahasa ibunda yang berlainan. Apabila saya menonton cerita tersebut, terbit difikiran saya bagaimanakah mereka boleh mempelajari dan menguasai bahasa isyarat tersebut dan bagaimanakah orang-orang disekeliling mereka seperti ahli keluarga mereka yang normal mempelajari bahasa isyarat tersebut?

Pada pendapat saya, bagi seorang ibubapa mereka perlulah juga belajar dan tahu cara untuk berkomunikasi dengan anak istimewa. Sejak dari mereka kecil lagi mereka perlu tahu dan belajar bahasa isyarat supaya komunikasi dan pembesaran anak-anak tidak terbatas disebabkan ketidakmampuan anak mereka untuk bertutur seperti orang lain.




Wednesday, February 9, 2011

(^_^) Situasi 5: Pisang goreng VS Goreng pisang




Assalamualaikum...

Dalam diari kali ini, saya ingin mengulas mengenai kesalahan penggunaan frasa yang sering dilakukan oleh kebanyakan penutur bahasa Melayu. Sudah banyak kali saya perhatikan,  apabila saya pergi membeli pisang goreng di gerai-gerai kecil tidak kiralah di sekitar Tg. Malim atau di negeri saya sendiri di Johor, saya perhatikan akan ada sahaja yang menggunakan frasa goreng pisang dalam konteks ayat yang salah.

"Cik, nak beli goreng pisang dua ringgit...





Frasa "goreng pisang" adalah frasa kerja yang menunjukkan perbuatan dan salah jika digunakan dalam konteks ayat di atas...tetapi sebetulnya ayatnya adalah begini:

"Cik, nak beli pisang goreng dua ringgit"





Frasa "pisang goreng"  yang sepatutnya digunakan kerana dalam konteks ayat di atas apa yang mahu dibeli orang tersebut adalah sesuatu benda iaitu pisang yang telah digoreng dan bukannya mahu membeli sejenis perbuatan iaitu menggoreng. Jika situasi ini berlaku di hadapan saya dan pelakunya adalah rakan saya sendiri, saya akan menegurnya dan memperbetulkan kembali frasa yang digunakan olehnya supaya dia tidak mengulang kesalahan bahasa yang sama. Perkara sebegini walaupun nampak agak kecil di pandangan mata orang lain, tapi pada pendapat saya, kita sebagai penutur bahasa Melayu haruslah mendidik diri sendiri dan orang lain untuk menggunakan bahasa yang betul dalam konteks dan situasi yang betul...











Saturday, February 5, 2011

(^_^) Situasi 4: Tidak tahu atau sengaja???




Assalamualaikum....

Saya ingin menceritakan mengenai pengalaman saya ketika menikmati makan malam di sebuah gerai makan di sekitar Tg. Malim. Semasa sedang duduk menunggu makanan saya terdengar suara anak kecil berkata kepada bapanya. Budak itu berumur dalam lingkungan lima atau enam tahun mungkin.

Anak kecil: Papa, tengok tu. (menunjukkan ke arah papan tanda menu minuman di kedai tersebut)
Bapa: Kakak tengok apa?
Anak kecil: Kakak baca tulisan tu tulis Appel. Appel tu buahkan papa? Sambil membaca tulisan di papan tanda menu minuman tersebut..eppal, nenas, tembikai...Orang tu salah tulislah papa. Cikgu ajar kat sekolah tulis epal "E-P-A-L...dalam buku kakak pun tulis macam tu. Kenapa kat situ eja
"A-P-P-E-L?

Saya yang melihat situasi berkenaan amat tertarik kerana budak sekecil itupun dapat melihat kesalahan yang dieja pada papan tanda tersebut. Betapa pekanya mata seorang kanak-kanak. Saya berasa sedikit kecewa kerana pada saya tidak sewajarnya kita melakukan kesalahan ejaan di tempat sebegitu kerana ia semestinya akan dibaca oleh pelanggan yang datang. Sepatutnya perkataan epal tersebut harus dieja dengan betul. Saya tidak mengetahui sama ada perkataan tersebut sengaja dieja begitu atau tidak tahu ejaan yang betul. Sebagai orang dewasa tidak seharusnya menunjukkan contoh yang tidak baik kerana ia menjadi ikutan kanak-kanak. Seharusnya kita perlu tahu bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan, bahasa rasmi kita sebagai rakyat Malaysia. Mungkin jika kita menyebut perkataan "epal" dan "appel" akan mengeluarkan bunyi yang sama tetapi tetapi jika terpapar dalam bentuk tulisan sebegitu sudah tentu ia menampakkan satu kesalahan bahasa yang tidak wajar dilakukan.

Jika kita melihat memang sudah menjadi budaya terutamanya orang muda apabila menghantar sms atau khidmat pesanan ringkas mereka suka menyingkatkan perkataan atau mengeja perkataan dengan ejaan yang salah. Jika menulis di laman-laman sosial seperti facebook dan sebagainya memang kebiasaannya mereka sengaja mengeja perkataan dengan ejaan yang salah. Ia seperti sudah menjadi trend golongan ini menulis dengan ejaan demikian. Contohnya perkataan "mesej" jadi "mecet", perkataan tidak mahu menjadi "xmo" dan banyak lagi. Kesalahan penggunaan bahasa, ejaan sebenarnya kini dilihat sukar untuk dibendung kerana susah menjadi seperti rutin dan kebiasaan dalam perhubungan sosial. Saya bimbang, jika perkara ini tidak dibendung ia akan menjadi semakin teruk dan akan menjadi kebiasaan terutama kepada para pelajar menulis dengan ejaan yang salah. Kebiasaan menulis dengan ejaan yang salam dalam komunikasi seharian terutamanya dengan rakan-rakan menjadikan mereka lupa cara untuk mengeja perkatan dan menggunakan bahasa yang betul dalam menulis karangan atau bentuk penulisna lain yang bersifat akademik.