CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

:: Ceritera Seorang Aku ::

create your own banner at mybannermaker.com!

Thursday, March 17, 2011

(^_^) Situasi 39: Kata sapaan menunjukkan rasa keakraban




Assalamualaikum…..
Dalam entri kali ini, saya ingin menceritakan pengalaman saya ketika berkomunikasi dengan  seorang penulis FELDA yang berbakat besar iaitu Ramli Daud. Beliau berumur 74 tahun dan telah menulis sejak di bangku sekolah rendah lagi. Saya dan ahli kumpulan telah bersepakat untuk menemuramah Ramli Daud sebagai respondan kajian kami untuk menyiapkan tugasan bagi Kursus Keterampilan Penulis. Sebelum bertemu dengan beliau, saya terlebih dahulu telah menghantar mesej melalui sistem pesanan ringkas (SMS). Berikut merupakan mesej-mesej kami yang telah saya dihantar dan dibalas oleh beliau:

Saya:
“Assalamualaikum Encik….
Maaf mengganggu, saya Maisarah, pelajar dari UPSI, saya dan rakan-rakan ingin menemuramah Encik untuk tugasan kami. Boleh tak nanti saya dan rakan-rakan bertemu dengan Encik?”

Ramli Daud:
“Waalaikumussalam…
Nanti datanglah ke rumah Pak Cik di Felda Sungkai…Tapi pak cik seganlah sebab dah ramai sangat pelajar UPSI yang datang menemuramah pak cik. Apa yang pak cik cakap semua benda yang sama..

Saya:
Tak apa pak cik, lain orang lain caranya. InsyaAllah hari Rabu nanti kami datang. Boleh tak pak cik bagi alamat rumah pak cik?


Kemudian, pak cik Ramli Daud pun memberikan alamat rumahnya….
Daripada mesej di atas boleh dilihat pada awalnya saya menggunakan kata sapaan Encik terhadap Pak Cik Ramli, tetapi kemudian apabila beliau sendiri membahasakan dirinya pak cik, saya terus memanggilnya pak cik. Saya rasa lebih selesa apabila beliau menggelarkan dirinya pak cik kerana panggilan tersebut nampak lebih mesra. Pada mulanya, saya memanggil beliau Encik dan saya merasakan bahawa ada jurang yang terlalu jauh antara kami tetapi apabila memanggil beliau dengan gelaran pak cik, saya dapat rasa satu kemesraan dan keakraban dengan beliau. Jadi, sememangnya kata sapaan atau panggilan terhadap seseorang itu boleh menunjukkan rasa keakraban terhadap seseorang yang disapa. Namun begitu perlu diketahui bahawa menggunakan kata sapaan yang betul amat penting bagi menjaga tatasusila sebagai orang Melayu yang beradab. Kata sapaan mestilah mengikut keadaan atau situasi dengan siapa kita bercakap. Ia merupakan salah satu adab dalam proses komunikasi.


Wednesday, March 16, 2011

(^_^) Situasi 38: Cakap terbalik




Assalamualaikum….
Saya ingin ingin menceritakan pengalaman saya berkomunikasi dengan seorang rakan yang berasal dari negeri Sabah. Berikut merupakan perbualan saya dengan rakan saya itu:

Saya: Ko tak balik ke?
Rakan: Tak. Malas aku bah…
Saya:Ko xpenat ke dok sini lama-lama? Dah makan belum?
Rakan: Makan suda….

Saya perhatikan, dalam pertuturan  terutama orang yang berasal dari negeri Sabah, mereka sering bercakap dengan menggunakan rumus M-D… tetapi dalam bahasa Melayu, telah ditetapkan bahawa hukum D-M merupakan hukum sebenar dalam bahasa Melayu dan penggunaan frasa yang tidak menepati hukum D-M dianggap salah kecuali beberapa frasa yang dikecualikan daripada mematuhi rumus ini seperti perkataan Perdana Menteri dan sebagainya. Selain dari masyarakat negeri Sabah, masyarakat Baba-Nyonya juga mempunyai kod bahasa ‘cakap terbalik’. Bagi kita, sebagai penutur asli yang telah biasa dengan penggunaan hukum D-M apabila mendengar orang lain bercakap dengan cara ‘cakap terbalik’, ia dikatakan sesuatu yang sangat pelik dan janggal. Dan orang tersebut kita anggap seperti orang yang tidak pandai dan fasih berbahasa Melayu. 


(^_^) Situasi 37: Macam tu ek....




Assalamualaikum….
Pada hari Selasa yang lepas, semasa sedang mengikuti kelas Semantik dan Pragmatik Bahasa Melayu, saya mendengar pensyarah saya bercakap mengenai sebutan hujung yang selalu disebut oleh masyarakat kita yang berbeza negeri. Beliau mengambil contoh negeri Kelantan, Kedah dan Johor.

Kita pi kedai sat gi no (dialek Kedah)
Kite gi keda jap gi deh (dialek Kelantan)
Kite gi kedai jap gi ek (dialek Johor)

Bunyi hujung sebutan dialek-dialek tersebut memang sudah menjadi kebiasaan di masyarakat di negeri-negeri tersebut. Bagi saya, sebagai seorang yang berasal dari negeri Johor, sebenarnya sebutan ‘ek’ di hujung ayat sememangnya sudah menjadi kebiasaan. Saya tidak tahu apa sebenarnya maksud ‘ek’ tetapi jika ditinjau dalam Kamus Dewan, perkataan ‘ek’ bermaksud kemegahan. Jika orang Johor menyebut perkataan ‘ek’ dihujung ayat, adakah dikatakan orang Johor suka bermegah-megah? Bagi saya tidak! Mungkin itu adalah satu ‘trade-mark’ bagi orang Johor. 

Penggunaan kata ‘ek’ di hujung ayat menunjukkan identiti orang Johor. Sebagai contoh, kita sedia maklum bahawa negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Johor mempunyai loghat yang tidak banyak berbeza  antara satu sama lain dan sukar untuk kita menentukan identiti mereka sama. Tetapi jika seseorang dalam kalangan mereka bercakap menggunakan banyak perkataan ‘ek’, sudah tentu orang lain dapat mengagak bahawa orang itu adalah orang Johor. Walau bagaimanapun, bagi negeri Kedah dan Kelantan walaupun tanpa menggunakan ‘no’ dan ‘deh’ dalam percakapan orang lain masih boleh mengagak bahawa mereka merupakan orang Kedah atau Kelantan kerana dialek mereka memang bunyinya jauh berbeza dari bunyi bahasa Melayu standard berbanding dialek Johor yang mempunyai banyak persamaan dengan bahasa Melayu standard.


(^_^) Situasi 36: Haiyaa.....




Assalamualaikum….
Hari ini saya telah pergi ke sebuah kedai runcit untuk membeli beberapa barang keperluan. Semasa berada di dalam kedai tersebut, saya terdengar seorang pelanggan Melayu berbual dengan tauke kedai itu. Berikut merupakan perbualan mereka:

Tauke: Haiyaa, sulah lama xlak nampak….pegi mana?
Pelanggan: Yala…saya manyak sibukla tauke….balu balik lali kampung oo…
Tauke: Oooo…..

Kemudian, mereka pun terus berborak sesama mereka. Dari sedikit perbualan yang dengar, saya dapati bahawa pelanggan berbangsa Melayu tersebut berkomunikasi dengan tauke kedai tersebut menggunakan bahasa mengikut slanga atau loghat orang teuke Cina tersebut. Bahasa ini dikenali sebagai bahasa kreol.  
Bahasa Kreol merupakan bahasa yang sudah menjadi bahasa ibunda serta merupakan bahasa pertama bagi sesebuah keluarga atau pun kelompoknya. Penggunaan bahasa ini tidak terbatas kepada kelompoknya sahaja, malah turut juga ditiru sebutannya oleh masyarakat Melayu yang hidup bersama kelompok penutur tersebut.
Pada pendapat saya, kehadiran bahasa kreol ini sedikit sebanyak telah menjejaskan sistem fonologi dan morfologi bahasa Melayu kerana banyak perkataan disebut dengan bunyi yang lain dari bunyi sebenar perkataan dalam bahasa Melayu melalui penukaran dan penambahan huruf yang berbeza walaupun perkataan tersebut tidak lari dari makna sebenar dalam bahasa Melayu.


(^_^) Situasi 35: Lirik lagu perosak bahasa



Assalamualaikum...

Semalam semasa sedang dalam perjalanan menuju ke kuliah, saya sempat mendengar sebuah lagu yang diperdengarkan di radio. Bila saya mendengarkan lagu tersebut, tiba-tiba timbul perasaan meluat terhadap lagu tersebut kerana lirik lagunya yang mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Cuba perhatikan lirik lagu tersebut:

(Korus)
Pulanglah sebelum ku
runaway
Aku menanti kamu
everyday
Aku menunggu dari
Monday, Tuesday, Wednesday, Thursday
Aku tak ingin tak perlu
Pulanglah sebelum ku
runaway
Aku menanti kamu
everyday
Aku menunggu dari
Monday, Tuesday, Wednesday, Thursday
Aku tak ingin tak perlu
Aku dah bingung


Pada pendapat saya, memang tidak patutlah pencipta lirik lagu ini menggunakan bahasa rojak sedemikian kerana ia mencemarkan bahasa. Seelok-eloknya, jika mahu menggunakan bahasa Inggeris gunalah sepenuhnya dalam bahasa Inggeris dan jikalau ingin menggunakan bahasa Melayu, gunakanlah bahasa Melayu sepenuhnya. Janganlah dicampuradukkan sehingga mencacatkan kecantikan bahasa. Jika kita dengar lirik lagu ini memang sangat  tidak sedap dan tidak menarik bunyinya.


(^_^) Situasi 34: O.K




Assalamualaikum….

Dalam entri kali ini saya ingin membicarakan tentang penggunaan satu perkataan yang sering digunakan dalam situasi seharian iaitu perkataan ‘O.K’.
Jika dilihat maksudnya di dalam kamus dewan, O.K membawa maksud baiklah. Saya teringat mengenai pembentangan kumpulan kami pada hari Khamis 11 Mac yang lepas, seorang dari ahli kumpulan saya menggunakan perkataan O.K semasa melakukan pembentangan di hadapan kelas, kemudian dia ditegur oleh pensyarah kami iaitu Prof Emeritus Abdullah Hassan.

Prof:Boleh tidak kalau kamu jangan gunakan perkataan O.K…
Rakan saya: Baiklah Prof…

Apabila meneruskan pembentangan, rakan saya masih mengulangi perkataan O.K tersebut. Sebenarnya perkataan O.K sudah menjadi kebiasaan kepada kita untuk menggunakannya. Jadi kebiasaan itulah yang membuatkan kita sukar untuk menggunakan perkataan lain menggantikan perkataan O.K. Perkataan O.K boleh ditukar dengan perkataan ‘baiklah’ tetapi kerana kebiasaan menyebut perkataan O.K maka agak janggal jika menggunakan perkataan ‘baiklah’. Perkataan ‘baiklah’ dari segi penggunaannya nampak agak janggal dan skema tetapi sebagai seorang bakal guru, seharusnya kita cuba membiasakan diri menggunakan bahasa Melayu yang betul.


(^_^) Situasi 33: Melatah (Sengaja dibuat-buat atau memang penyakit?)




Assalamualaikum....

Hari ini saya ingin menceritakan tentang pengalaman saya semasa sedang mengikuti kelas Pengajaran Teknologi dan Penaksiran II di Bilik kuliah Taman Bernam, seorang rakan saya telah mencuit pinggang kawan saya yang seorang lagi, kemudian kawan yang dicuit tadi tiba-tiba melatah dengan kuat sehingga yang lain turut memandang mereka.

Oo mak ko!


Kami satu kelas ketawa melihat gelagat rakan saya yang melatah tersebut. Nasib baiklah latahannya hanya sementara tidak seperti seorang ibu saudara saya. Apabila menceritakan tentang perkara ini, saya teringat kepada mak ngah saya iaitu kakak ipar ayah saya, dia juga dikategorikan sebagai seorang yang suka melatah. Namun, apabila dia melatah situasinya lebih teruk. Kadang-kadang apa yang dia lakukan dan katakan berada di luar kesedaran dirinya. Paling melucukan hati saya adalah apabila mak ngah sudah mula melatah, dia memang sukar untuk berhenti jika orang lain masih terus menyakatnya. Semakin diusik dan disergah, semakin rancak mak ngah melatah. Biasanya apa yang orang lain katakan dia akan ikut dan akan buat sehinggalah orang lain berhenti.  Saya masih ingat lagi, mak saya dengan tiba-tiba membuatkan mak ngah terperanjat dan kemudian mak ngah mulalah melatah. Apabila mak menyuruh mak ngah memeluk pak ngah dengan spontan mak ngah pergi ke arah pak ngah dan terus memeluk pak ngah, kemudian apabila mak menyuruh mak ngah pukul bahu pak ngah, mak ngah juga buat apa yang disuruh. Memang kami sekeluarga yang berkumpul ketawa sakan melihat gelagat mak ngah.

Sebenarnya saya sendiri kurang pasti bagaimana seseorang itu boleh melatah. Adakah ia sejenis penyakit atau sengaja dibuat-buat? Saya memetik kata-kata dari sebuah laman web:
Penulis buku American Normal: Hyperstartle Syndrome, Lawrene Osborne pernah menyatakan jika masyarakat Amerika Syarikat (AS) popular dengan penyakit anoreksia, orang Nigeria mengalami masalah kepenatan minda, bangsa Melayu pula menghidap ‘penyakit’ latah (hyperstartle syndrome).

Meskipun kumpulan perubatan masih belum menemui punca sebenar latah, tetapi ia dipercayai berkait rapat dengan fungsi sistem saraf pusat, psikologi dan sosial.
Menurut Dekan Klinikal Psikiatri Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Azhar Zain, sistem saraf pusat yang dimaksudkan itu berlaku di bahagian tengah otak.

Jelasnya, apabila golongan ini disergah secara serta-merta, sistem limbik (di bahagian tengah otak) terganggu dan boleh menyebabkan mereka terkejut, lalu melatah. Pada saat itu, turut berlaku sedikit konflik emosi dan memori.Sebab itulah, jika diperhatikan individu yang melatah bukan sahaja melakukan aksi di luar kawalan, malah mereka tidak akan mengingati apa yang berlaku sepanjang insiden tersebut.


(^_^) Situasi 32: Belajar Dialek Lain



Assalamualaikum....
Semasa kelas sosiolinguistik pada hari khamis yang lepas, saya telah belajar beberapa dialek dari negeri Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan dan Utara. Pensyarah saya iaitu Dr. Siti Saniah telah memperdengarkan kepada kami tentang video lagu dari dialek Kelantan, Terengganu, negeri Sembilan dan utara. Apa yang menariknya adalah belajar mengenai dialek Kelantan yang saya rasakan bahasanya sangat pelik dan sangat berbeza dengan bahasa yang digunakan oleh saya sebagai orang Johor. Selain itu, Dr Siti juga memperdengarkan kepada kami tentang lagu seekor anak tupai, merupakan lagu yang menggunakan dialek Kelantan.
Artis: Halim Yazid
Lagu: Anak Tupai

Ada sekor anak tupa, atah jula mokte,
kudung ekor perok lapar, jale cari make,

Kejadian tuhan dipanggil nama tupa,
asalnyo dale hute, sejenis mamalia
Kejadian tuhan dipanggil nama tupa,
asalnyo dale hute, sejenis mamalia
kalu pasal
jakit kot dahe, diolah yang paling panda,
jatuh jare-jare kerano dio tok soba,

pandai-pandai tupai melopat jatuh tanoh jugok,
nok wi gambar ko ore jahat, jange telajok
manggok,
jange telajok manggok,

ore jame ghitu pakat hambat tupa,
bimbe ko buoh kayu, takut tok de besa,
ore jame ghitu pakat hambat tupa,
bimbe ko buoh kayu, takut tok de besa,
nyor, durie, duku, kalu de nyo kerik tupa,
pendek tahun tu nyor, durie tok leh nok jual

Ore sekapong tupa seko, berambak hari-hari,
nyo pakat
likong, nyo pakat pekong, tupa tok leh lari

Sekak bedil ado, tupa habih mati,
hok ni la sayo raso kito sangat rugi,
kito manusia tinggi mano pun kita ngaji,
nok buat tupa seko, tentu sekali doh tok jadi

Lo ni kapong atau bandar, jare boleh tengok,
bapok tupa, ibu tupa jale bawok anok
jale bawok anok

raso kesian sunggoh tengok seko anok tupa,
kerano telajok kuruh sampai tok leh nok niti pagar,
bulu-bulu pun habih luruh, air mata
bera-bera,
mari dale baroh, bekali kena racun
tebaka

Daripada lagu Anak Tupai ini saya mengetahui banyak kosa kata baharu dalam dialek Kelantan. Contohnya:
DIALEK KELANTAN
BAHASA MELAYU SEBENAR
jakit
jangkit
likong
lingkung
pekung
lempar/ baling
manggok
nakal
bera-bera
berterabur
tebaka
tembakau

Melalui lagu ini, saya belajar tentang pelbagai kosa kata baharu berkenaan dialek Kelantan. Seronok untuk belajar dialek negeri lain kerana ia merupakan satu keunikan yang terdapat di negara ini. Secara tidak langsung dengan belajar pelbagai dialek kita akan lebih mudah untuk berkomunikasi dengan orang yang berasal dari negeri lain.



(^_^) Situasi 31: Lumayan



Assalamualaikum...
Suatu hari, semasa saya sedang berteduh daripada hujan lebat di kaki lima deretan kedai, saya terdengar 2 orang Indonesia sedang berborak sesama mereka dengan menggunakan bahasa Indonesia.

Perempuan 1: Sungguh lumayan ya hujannya…
Perempuan 2: Ya…habis basah baju aku…


Bagi masyarakat Melayu Malaysia, perkataan lumayan merujuk kepada pendapatan yang agak banyak. Namun, berbeza dengan orang Indonesia yang saya dengar seperti dialog di atas, perkataan lumayan tersebut merujuk kepada air yang turun dengan banyak/ lebat. Apabila mendengar perbualan tersebut, saya berasa sangat lucu kerana wanita tersebut menggunakan perkataan ‘lumayan’ bagi merujuk kepada perkataan ‘lebat’. Sememangnya ayat ini agak janggal dan pelik jika di dengar oleh penutur bahasa Melayu di Malaysia walaupun kedua-dua bahasa ini iaitu bahasa Melayu dan bahasa Indonesia berasal daripada rumpun bahasa yang sama. Berbeza jika kita mendengar orang Indonesia menuturkan perkataan seperti “capek”, “kakek” , “cowok”, kita tidak merasa janggal walaupun perkataan ini kita tidak gunakan di Malaysia, namun jika sesuatu perkataan yang sama itu digunakan dalam konteks ayat yang berlainan, ia merupakan sesuatu yang nampak janggal.

(^_^) Situasi 30: Mencarut Budaya Kurang Ajar



Assalamualaikum....
Suatu hari semasa saya sedang melayari laman sosial ‘facebook’, saya terbaca komen seorang rakan di halaman profil ‘facebook’nya.
     Sangat tertekan. Babi!
Perkataan babi seperti yang kita ketahui merupakan kata yang kesat dan tidak sopan. Ia boleh dianggap mencarut walaupun sebenarnya ia hanya nama sejenis binatang, tetapi apabila digunakan kepada manusia memanglah sangat tidak sopan. Apatah lagi, kita tahu bahawa babi merupakan sejenis binatang yang haram dimakan malahan disentuh juga haram bagi umat Islam. Apakah itu mencarut?
Mencarut merujuk kepada perbuatan maki-memaki ataupun pengeluaran kata-kata kesat. Secara umumnya,mencarut adalah kelakuan yang tidak membawa sebarang faedah. Selain itu perbuatan mencarut akan mengurangkan rasa hormat orang ramai terhadap diri seseorang. Seseorang itu dianggap kurang beradab, dan mempunyai mentaliti yang kurang matang. Dalam kebudayaan orang Melayu pula, mereka yang mencarut biasanya dikatakan kurang ajar mungkin disebabkan oleh kejahilan, kurang pendidikan, berasal dari keturunan tidak baik, dan lain-lain.